DEFINISI
HARTA PUSAKA MENURUT ISLAM
Pusaka atau al-mirath dari segi bahasa pada makna al-masdar (المصدر) bermaksud al-baqa’ (البقاء) iaitu kekal dan perpindahan sesuatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Al-mirath pada makna ism maf’ul (اسم المفعول) pula bermaksud asal atau baki . Dari segi istilah pula pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda dan hak-hak yang akan diwarisi oleh ahli-ahli waris disebabkab kematian pewaris . Ada pendapat yang lain menyatakan bahawa pusaka atau al-mirath pada istilah ialah perpindahan pemilikan daripada si mati kepada para warisnya yang masih hidup, sama ada yang ditinggalkan itu berbentuk harta yang boleh dipindah, harta yang tidak boleh dipindah, ataupun sesuatu hak yang ditetapkan oleh syarak (seperti hak khiyar dalam jual beli, hak syuf’ah, dan hak qisas).
Mengikut mazhab hanafi pula telah mendefinisikan al-tarikah sebagai segala harta dan hak-hak kebendaan yang menjadi milik si mati. Harta termasuklah harta alih dan harta tak alih serta hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh orang lain kepadanya. Namun terdapat sesetengah pendapat mengatakan bahawa al-tarikah ialah segala harta yang ditinggalkan oleh si mati setelah diselesaikan hutang dan wasiatnya. Oleh itu, al-tarikah menurut pendapat jumhur ulama ialah harta peninggalan si mati yang telah bersih dari hutang dan wasiat serta ia akan diwarisi oleh waris-warisnya yang masih hidup.
Menurut istilah ilmu
faraid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tarikah. Dari segi bahasa,
al-tarikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh si mati .
Manakala definisi al-tarikah dari segi istilah syarak pula berlaku perselisihan
dalam menentukan maknanya. Perselisihan tersebut dapat dilihat seperti berikut
iaitu menurut jumhur fuqaha’ mendefinisikan al-tarikah ialah segala sesuatu
yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda, hak-hak kebendaan dan
hak-hak yang mempunyai unsur kebendaan ke atas hak-hak persendirian. Kesemuanya
ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris .
Menurut Imam Ramli iaitu ulama mazhab Syafi’I di dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj telah mendefinisikan harta pusaka sebagai “apa-apa yang ditinggalkan untuk orang kemudian daripadanya sesuatu hak seperti jenayah, tuduhan zina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil dari pembunuhnya kerana diyat termasuk di dalam miliknya. Begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasangnya di masa hidupnya”
No comments:
Post a Comment